Metamorfosis kebaikan

Friday, July 15, 2011

UNTUKMU MAWAR BERDURI




Akhir-akhir ini saya merasa senang melihat kebanjiran nama indah, ruang pena bergelar mawar berduri dan seumpama dengannya. Saya melihat dari sisi positif, setiap orang mahu berusaha ke arah kebaikan. Semoga cerita saya dapat dijadikan satu perkongsian buat kalian.

Saya juga dahulu seorang remaja, jiwa yang selalu ingin merasa dikasihi dan disayangi. Tetapi, saya selalu diingatkan oleh tarbiyyah keluarga untuk selalu menepis perasaan yang singgah. Bukan tidak meraikan naluri yang hadir, cuma menyimpan seketika sebelum tiba waktunya. Melihat ada dikalangan rakan-rakan yang mula bercinta, berdating dan meninggalkan fokus utama sebagai pelajar membuatkan saya mula meletakkan tanda aras bagi diri saya supaya dapat mengelakkan diri dari terjebak dengan budaya couple.

Saya juga dahulu seorang remaja, banyak perkara yang menjadi gejolak hati membuatkan saya perlu berusaha untuk mencari jalan keluar dari masalah ini. Saya bukanlah dikategorikan sebagai perempuan yang cantik, namun setiap perempuan itu ada kelebihannya yang tersendiri. Semasa mengadakan discussion group atau dikenali sebagai study group, saya tergamam apabila sahabat lelaki saya meluahkan rasanya. Saya tidak mengenali ramai lelaki dan saya hanya berkawan dengan lelaki yang saya temui secara tidak sengaja, (seperti rakan sekelas) tetapi persahabatan itu tetap mempunyai garisan pemisah.

"Awak ada ciri-ciri yang saya nak jadikan isteri."

Dalam keadaan yang masih dihambat kesibukan sebagai pelajar, saya disentak persoalan sebegitu. Kalau sebelum ini, menerima kiriman surat dari secret admire, menerima kiriman salam dari para ikhwah, saya tidak mengendahkannya. Walau di hati bimbang perasaan ini akan melonjakkan lompatan syaitan atas kegirangan menundukkan hamba Allah, hati saya terus meruntun hiba dalam solat. Saya berusaha untuk menghilangkan setiap rasa yang mampir dengan segera solat tahajud dan taubat.
“Ya ALLAH, bantulah hambaMu yang lemah ini...tetapkanlah hati hamba pada jalanMu ya ALLAH..”


Saya bimbang dan khuatir, kerana sabda Rasulullah bahawa tiada yang lebih besar dari fitnah wanita. Maka, saya selalu dihantui menjadi fitnah kepada ar-rijal walaupun saya tidak berkawan rapat dengan lelaki. Maka, sedari usia 17 tahun saya berusaha untuk istiqamah melantunkan bait-bait doa dan pengharapan semoga Allah menutup jalan-jalan fitnah kepada saya.

Sehingga berusia 17 tahun, akhirnya saya diajar oleh seorang akhawat yang selalu bersimpati dengan keadaan saya yang katanya seperti manisan yang dihurung semut. Disaat saya menangis dan meluahkan perasaan, akhawat tersebut tidak pernah lupa untuk mengingatkan bahawa setiap yang hadir hanyalah ujian bagi menguji kesungguhancinta saya pada Allah. Saya redha, walaupun terus menangis hiba. Hanya Allah yang mengetahui.

Akhawat yang simpati itu mengajar saya untuk melafazkan doa;
"Allahummaj'alni hubbak wa hubba man ahabbak waj'al hubbaka ahabba ilayya minal maail baridi."
Dimana pengertian doa ini, Ya Allah kurniakan kepada ku cinta Mu, dan kurniakanlah kepada ku cinta insan yang mencintai diri Mu, dan jadikanlah cinta Mu pada ku lebih aku sukai dari air sejuk. Wallahua'lam.

Saya cuba menghindarkan diri dari semua aktiviti luar yang melibatkan para ikhwah.

Saya akur, saya selalu mengikrar pada diri untuk terus berdoa dan berharap. Sehinggalah suatu hari jalan 'jodoh' diberikan kepada saya. Saya solat istikharah dan merasa mungkin dialah jodoh saya, namun di sebalik semua itu ada pelbagai mehnah yang mengiringi sehingga hati saya berbolak balik apakah hikmah di setiap perkara tersebut. Tidak terjawab setiap persoalan yang menghantui saya, sehingga akhirnya saya meminta supaya Allah memberi jalan untuk saya, tunjukkan kekurangannya, singkapkan kekurangannya agar saya mampu untuk berkata TIDAK.

Akhirnya, satu per satu kekurangannya diperlihatkan. Saya tidak berkata dia tidak layak untuk saya yang serba kekurangan tetapi saya meletakkan harga yang sungguh mahal untuk menawarkan cinta kepada mana-mana lelaki. Saya bukanlah gadis solehah, tetapi saya mengharapkan agar saya diberikan kekuatan untuk mengikut langkah seperti srikandi agung yang harga cinta mereka adalah Allah.

Saya tidak sekuat srikandi pejuang agama namun rantaian perjuangan mereka yang saya susuri melalui kitab sirah sangat mengagumkan. Saya terus berdoa dan berdoa kepada Allah, tiada henti sehingga adakalanya saya seperti anak kecil yang berhajatkan sesuatu yang terlalu besar.


Saya pernah ditanya ramai orang, apakah ciri-ciri lelaki yang saya mahu jadikan sebagai suami. Saya tidak menyambut soalan itu dengan jawapan sebaliknya saya membuat muhasabah diri. Bukankah lebih baik saya memberi fokus untuk menjadi anak yang solehah, seterusnya berusaha untuk menjadi isteri solehah yang akan mendidik anak-anak sebagai ibu yang solehah. Saya meletakkan soalan mereka kepada saya, apakah saya layak dan mampu mendidik diri saya menjadi solehah?

Apakah kini ibubapa saya telah mendapat anak solehah?
Apakah suami saya kelak akan mendapat isteri solehah?
Apakah anak-anak saya kelak akan mendapat ibu solehah?


Saya berbesar hati dan berterima kasih pada setiap yang pernah bertanya kesudian diri ini menjadi sayap kiri pada perjuangan mereka. Namun, satu yang tidak mereka beratkan ialah ibubapa saya. Telah saya ikrarkan bahawa cinta saya harganya sangat mahal, untuk Allah.

"keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa"

Saya mahu mendapat keredhaan ibubapa yang selama ini memberikan kasih sayang secara eksklusif, mahal dan tiada setara dengannya. Makhluk Allah yang begitu saya muliakan selain Rasulullah. Mereka hampir dengan hati yang mahu membeli hati saya tanpa dahulu membeli hati kedua ibubapa saya, itu kesalahan terbesar mereka di mata saya.

Saya penat bersoal jawab dengan rakan, taulan, kenalan dari pelbagai latar belakang sehingga akhirnya saya meminta keizinan dari kedua ibubapa saya untuk menyarung cincin di jari saya. Bukan untuk mengaburi mata insan lain tetapi untuk mencari helah dari terus-terusan diberi pelawaan untuk menuju gerbang rumahtangga. Ibubapa saya memberi keizinan tersebut, dan saya aman seketika. Pada setiap yang hampir, saya hanya tersenyum dan menunjukkan jari manis saya yang sudah tersarung sebentuk cincin.


Saya tidak menipu tetapi saya membuat helah. Walaupun ada dikalangan sahabiah marah dengan tindakan saya, ada juga dikalangan keluarga yang tidak menyetujui tindakan saya yang seakan-akan 'declair' bahawa sudah ada yang mengisi kekosongan 'tersebut' namun saya pujuk juga hati yang terluka dengan mengatakan, ia dengan izin ibubapa yang lebih memahami hati anak gadis mereka.

"Kalau dah pakai cincin di jari manis, nanti bertunang dan menikah nak sarung di jari mana lagi?

"Nanti orang nak 'tanya' pun tak berani, dah pakai cincin awal-awal."

Saya telan kata-kata itu, adakala saya meluahkan segugus perasaan pada ibubapa tetapi mereka tenang sahaja. Dan saya tidak akan melupakan kata-kata bapa saya.

"Hanya yang berani untuk bersua dengan keluarga untuk bertanya 'status sebenar' sahaja akan mengetahui, dan dialah yang paling bersungguh."

Akhirnya, sehingga itu saya menutup kamus tentang jodoh kerana saya aman dengan janji Allah, saya merasa tenang dengan kata-kata bapa sebagai wali mujbir mengatakan bahawa hanya yang BERANI dan BERSUNGGUH sahaja mampu untuk tahu perkara sebenar. Saya biarkan sahaja persoalan jodoh.

Di saat sahabiah lain bercerita mengenai status isteri solehah, saya tidak menceburkan diri kerana saya sedang bermujahadah untuk mendapatkan status anak solehah.

Pelik bukan, kita selalu berusaha untuk mendapatkan sesuatu yang jauh dari kita tetapi kita tidak memanfaatkan apa yang hampir dengan kita. Sebagai anak gadis, apakah lebih manis apabila kita memberi seluruh usaha solehah untuk menjadi anak solehah kerana seorang anak yang tolehah tidak akan mampu dengan lafaz ijab dan qabul terus berubah menjadi isteri solehah, ianya perlu pada lentur nafsu dan ego.

Apabila ibubapa meredhai diri kita, insya Allah kelak suami juga akan mudah untuk meredhai kita kerana kita sudah berusaha untuk menjadi anak solehah, kemudian meletakkan diri di tempat berbeza, usahanya masih menggunakan aras yang sama iaitu menjadi solehah. Kalau kita tidak mampu menjaga hati dan perasaan ibubapa, adakah kita mudah untuk melentur diri untuk memuaskan hati dan perasaan seorang suami?

Saya menghilangkan diri di tengah kesibukan sahabiah lain yang sedang menyiapkan diri untuk menuju gerbang rumahtangga. Saya menyorok dari setiap lenturan emosi dan akhirnya saya hanya punya satu kekuatan iaitu menanam yakin pada Allah.

Siapa saja jodoh saya bukan pilihan saya, bukan juga pilihan
ibubapa saya tetapi pilihan Allah untuk saya.
Dan harga cinta saya terlalu mahal, untuk Allah. Bagi membeli hati saya, dia haruslah terlebih dahulu membeli hati ibubapa saya kerana saya masih mempunyai ibubapa yang berkuasa mutlak atas diri saya. Mereka berhak ke atas setiap perkara yang bersangkutan dengan urusan dunia juga akhirat saya.

Dalam kesibukan menghilangkan diri di tengah hiruk pikuk keadaan, saya diberitahu oleh bapa saya tentang lamaran seseorang. Saya cuba menenangkan diri, mencari tahu siapa orang yang BERANI dan BERSUNGGUH tersebut. Bapa saya menjadi orang yang paling mendamaikan, ibu pula bertindak menjadi penasihat.

Akhirnya, telah Allah beritakan bahawa yang paling BERANI dan BERSUNGGUH itu ialah orang yang telah membeli hati ibubapa saya. Bukan membeli hati saya seperti sebelum ini.

Saya katakan kepada ibubapa, mereka telah membeli hati ibu dan bapa saya tanpa membeli hati saya tetapi saya akan menghadiahkan cebisan hati saya untuknya. Dia tidak berjual beli dengan saya tetapi dia berjual beli dengan Allah, kerana saya telah katakan seperti awal tadi, cinta saya untuk Allah. Dan sebagai pembeli budiman yang membeli cinta Allah, saya menghadiahkan kalungan penghargaan untuknya dengan memberikan cebisan hati saya untuknya tidak lain atas kerelaan dan keredhaan ibubapa yang mengharapkan bahawa dia adalah pilihan Allah untuk saya.

Pada si mawar yang berusaha untuk menjadi mawar berduri, pesan sayabersungguhlah membenteng diri walau ada ketika dan masa ada kumbang yang cuba menyentuh duri yang memagari dirimu, bukan mereka tak tahu tajamnya sakit tusukan durimu tetapi mereka rasakan bahawa itu adalah usaha.


Ada kumbang yang sekadar memberi salam dan berlalu.
Ada kumbang yang singgah bertanya kesudian mawar indah.
Ada kumbang yang mahu menguji sejauh mana tajamnya durimu.


Anggaplah setiap yang hampir adalah UJIAN untuk lebih bersama dengan Allah, supaya lebih akrab dengan Allah. Yakinlah, Allah sentiasa ada untuk mendengar suara hati kita. Bahagialah atas ujian Nya kerana janji Allah, setiap kesulitan akan diiringi dengan kemudahan.

Pesan saya, teruslah memagari diri dan jangan biarkan sehingga kumbang-kumbang itu membuatkan jasadmu terluka dengan usikan-usikan liar.


Saya minta sedikit, tetapi Allah berikan kepada saya jauh lebih besar dari apa yang saya pohon. Satu saja yang ingin saya katakan, cintakan Allah tiada kecewa.
.................

Ana mahu dedikasikan perkongsian ini dalam blog kerana ana sayangkan ukhtun di luar sana, ukhtun fil islam yang sedang bermujahadah. Semoga kita sama-sama memberi cinta kepada Allah. Ana sempat bold beberapa part yang ana anggap sebagai 'penting'.
Wallahualam.
K.A.S.I.H. I.B.U. M.E.M.B.A.W.A. K.E. S.Y.U.R.G.A.
K.A.S.I.H. A.Y.A.H. T.I.A.D.A. B.E.R.T.E.P.I.
K.A.S.I.H. R.A.S.U.L. H.I.N.G.G.A. M.A.T.I.
K.A.S.I.H. I.L.A.H.I. K.E.K.A.L. A.B.A.D.I.~(^-^)

::SUMBER::
http://niqobgirl.blogspot.com/

1 comment:

kencang sikit!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...